Sunday 8 July 2012

HEPATITIS


Hepatitis, Penyakit Kuning, Bengkak Hati, Hati Berlemak, Barah Hati, Batu Hempedu & Gangguan pada Hati

Klik Link di bawah untuk dapatkan maklumat, cerita dan informasi mengenai Hepatitis, Penyakit Kuning, Bengkak Hati, Hati Berlemak, Barah Hati, Batu Hempedu & Gangguan pada Hati secara percuma dari pelbagai sumber:-

1. Apakah Hepatitis

Hepatitis ialah penyakit hati. Ia sebabkan oleh radang hati. Radang hati disebabkan oleh ubat-ubatan, alkohol, sistem immune badan seseorang dan lain-lainnya. Sebab yang biasa penyakit hepatitis di Malaysia ialah jangkitan virus hepatitis.
Radang hati melibatkan virus hepatitis jenis A, B, C, D, E, F dan G. Namun, virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) merupakan yang paling menggerunkan. Dianggarkan terdapat 1.1 juta rakyat Malaysia yang disyaki menghidap hepatitis B (belum termasuk hepatitis C).Bagaimanapun, virus yang lazim ditemui adalah hepatitis jenis A hingga E manakala jangkitan untuk hepatitis F pula hanya dijumpai sekali di India pada 1994 dan Hepatitis G hanya dikesan pada 1995. Jangkitan virus-virus ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu akut (gejala yang teruk dalam masa yang singkat) atau kronik (kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang).

2. Radang Hati

Pakar Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan hati juga mempunyai dua bahagian utama, kiri dan kanan, beserta pundi hempedu di bawahnya.
Kebanyakan masalah dan penyakit hati melibatkan penyakit kuning (jaundice) akibat peningkatan bilirubin, bahan sampingan hasil kematian sel darah merah. Kebiasaannya, hati yang sihat akan menapis bilirubin dari darah dan membuangnya melalui hempedu. Bagi hati yang rosak, termasuk akibat hepatitis, proses penapisan bahan sampingan ini mungkin terjejas. Ianya juga berlaku disebabkan gangguan pengaliran air hempedu di dalam hati disebabkan sel yang membengkak dan rosak.
Kebanyakan kes hepatitis (radang hati) berlaku akibat jangkitan virus, seperti mana Influenza H1N1 menyerang paru-paru. Namun, hepatitis juga boleh berlaku akibat racun tertentu, penyakit autoimun atau penyakit keturunan. Hepatitis boleh membentuk sirosis iaitu pembentukan tisu parut pada hati bagi menggantikan sel hati yang mati akibat jangkitan virus, ketagihan alkohol atau bahan kimia tertentu. Sirosis pula boleh membawa kepada kanser hati!
"Hepatitis sememangnya menggerunkan. Saya pernah berjumpa pesakit yang menangis tiba-tiba, ketakutan akibat terlalu banyak maklumat, dan mungkin telah salah faham mengenai situasi yang dihadapinya. Radang hati melibatkan virus hepatitis jenis A, B, C, D, E, F dan G. Namun, virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) merupakan yang paling menggerunkan," kata Dr. Ahmad Shukri.
Menurutnya, sirosis terbentuk daripada hepatitis kronik setelah bertahun-tahun dijangkiti virus tersebut. Di bawah mikroskop elektron, virus hepatitis kelihatan seperti bunga bulat tetapi sangat bahaya. "Malaysia dan rantau Asia mencatatkan paling banyak penyebaran virus hepatitis secara menegak (vertical), dari ibu kepada anak, dalam kandungan atau semasa dilahirkan. Dan, hanya HBV yang boleh dijangkiti secara menegak.
"Namun, ada juga pesakit yang dijangkiti HBV atau HCV ketika sudah dewasa, pada usia 30-an atau 40-an, melalui perkongsian jarum, pemindahan darah atau organ, dan juga jika mereka sering bertukar pasangan seks." Oleh itu, perlu difahami bahawa untuk HBV dan HCV, darah menjadi punca penyebaran utama. Hepatitis bukannya satu penyakit keturunan atau genetik!
HCV tidak disebarkan secara menegak tetapi boleh berjangkit melalui kaedah lain yang disebutkan tadi. Di Malaysia, lebih banyak kes hepatitis B dilaporkan berbanding hepatitis C berikutan keupayaan HBV berpindah dari ibu kepada anak. "Pesakit yang memuntahkan darah akibat bengkak atau radang hati juga biasa disalah anggap sebagai telah disantau orang," jelas Dr. Ahmad Shukri.

3. Apakah Tanda-Tanda Hepatitis

Kebanyakan orang dijangkiti tidak mempunyai tanda-tanda. Kalau tanda-tanda berlaku , ia adalah sama untuk semua berlainan jenis hepatitis. Tanda-tanda antaranya ialah:
Merasa letih, Kurang selera makan, Loya, Muntah, Sakit perut (abdomen), Warna kuning pada mata putih dan kulit (penyakit kuning), Air kencing berubah warna menjadi warna teh & Warna najis berubah pucat atau warna tanah liat .

4. Komplikasi Hepatitis yang Parah

Bila penyakit hepatitis kritikal dan kronik (lebih dari 6 bulan), kemungkinan organ hati sudah rosak. Lama-kelamaan sel-sel hati bertukar menjadi tisu fibrous dan meninggalkan parut dipanggil sirrosis hati (pengerasan hati).
Tanda-tanda sirrosis hati ialah: Abdominal membengkak, Sangat mudah lebam, Berubah tingkah laku atau berubah kepekaan, Muntah darah & Najis hitam.
Komplikasi sirrosis hati: Kanser hati & Maut.

5. Peluang untuk Pulih

Peluang seseorang yang dijangkiti HBV atau HCV pulih sepenuhnya, bergantung kepada jenis virus dan juga kekuatan sistem imuniti badan pesakit. Mereka yang masih muda, dengan sistem imuniti yang kuat, mempunyai peluang yang cerah untuk pulih.
"Peluang mereka yang dijangkiti HBV untuk pulih selepas enam bulan adalah lebih tinggi. Malangnya, 70 peratus pesakit yang dijangkiti HCV (hepatitis C) tidak akan pulih dan menjadi pembawa kronik virus tersebut. Cara jangkitan juga menjadi penentu perkembangan hepatitis. Mereka yang dijangkiti semasa dewasa mempunyai 85 peratus peluang untuk pulih sepenuhnya. Tetapi, sehingga 85 peratus pesakit yang dijangkiti ketika dilahirkan akan kekal dengan virus tersebut seumur hidup."
Dr. Ahmad Shukri bagaimanapun menegaskan masih banyak dapat dilakukan, bermacam rawatan boleh dicuba, tetapi hanya jika jangkitan dikesan dari peringkat awal. Jika ditunggu sehingga timbulnya gejala hepatitis, mungkin sudah terlewat! Untuk hepatitis, kini terdapat ubat dalam bentuk pil atau suntikan. Walaupun telah lebih 15 tahun dihasilkan, peringkat awal rawatan secara suntikan Interferontidak memuaskan kerana kadar tindak balas yang rendah.
"Pada awalnya, keberkesanannya hanya sekitar 20 peratus. Kemudian, ia meningkat kepada 30 peratus, dan kini ubat tersebut yang terdiri dari Nucleoside Analog dan Pegylated Interferon telah mampu memberi kesan positif sehingga lebih dari 50 peratus. Walaupun sebilangan pesakit kekal mempunyai virus hepatitis di dalam badan mereka, ubat tersebut menyebabkan virus itu tidak aktif," tegasnya.
Tambah Dr. Ahmad Shukri, tujuan utama rawatan dimulakan secepat mungkin adalah untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk kepada hati. Sebelum memulakan rawatan, pesakit memerlukan pengesahan jenis virus dan tahap jangkitan melalui beberapa ujian. Ini bagi menyesuaikan dengan kaedah rawatan yang paling berkesan. Berbanding 15 tahun lalu, pesakit kini mempunyai banyak pilihan rawatan, dengan kebanyakannya semakin berkembang dan semakin berkesan hasil penemuan-penemuan terbaru.
"Bagi pesakit yang dijangkiti ketika dewasa, 85 peratus daripada mereka akan pulih sepenuhnya, tanpa kesan virus dalam badan dan telah membentuk antibodi terhadap virus berkenaan! Perlu diingatkan bahawa pengambilan tonik hepar atau vitamin tidak merawat jangkitan virus hepatitis. Ia mungkin sekadar memberi suplemen tambahan kepada hati tanpa menyembuhkannya," tegasnya.

6. Saringan dan Pemeriksaan

Maklumat terkini mengenai virus, cara jangkitan, kesan dan cara mencegah, membolehkan kita merancang kaedah menentang penularan penyakit berjangkit seperti hepatitis dan juga influenza. Untuk hepatitis, hanya ujian darah memadai sebagai kaedah saringan mahupun pemantauan penyebaran HBV atau HCV.
"Mereka yang sering membuat ujian saringan untuk HBV, HCV ataupun HAV (virus hepatitis A) mudah mengetahui jika mereka diserang virus hepatitis. HAV yang disebarkan melalui makanan atau minuman tercemar, merupakan virus hepatitis yang tidak berbahaya dalam jangka panjang dan boleh dicegah dari awal melalui pengambilan vaksin," katanya.
Dr. Ahmad Shukri bagaimanapun berharap pihak hospital mahupun makmal meningkatkan skop saringan virus hepatitis dengan sekurang-kurangnya melibatkan saringan untuk kedua-dua HBV dan juga HCV. "Pakej ujian darah sedia ada hanya melibatkan saringan untuk HBV sahaja. HCV juga sepatutnya disertakan! Kedua-dua virus hepatitis yang disebarkan melalui darah ini boleh dikesan melalui kehadiran antibodi terhadap virus terbabit. HBV juga boleh dikesan melalui kehadiran antigennya (struktur permukaan kapsul virus)."
Walaubagaimanapun, ujian saringan mungkin terlepas pesakit yang berada di dalam window period, di ketika virus sedang bersembunyi akibat jumlah antibodi atau antigen yang rendah. Bagi mengelakkan terus kebarangkalian jangkitan, pengambilan vaksin mungkin menjadi cara pencegahan terbaik. Vaksin untuk HBV dan HAV sudah lama dikeluarkan. Terdapat dua jenis persediaan vaksin berkenaan, sama ada secara berasingan atau kombinasi kedua-dua vaksin dalam satu suntikan sahaja. Setiap individu memerlukan tiga dos vaksin hepatitis B dan dua dos untuk vaksin Hepatitis A. Malangnya, vaksin untuk HCV yang menjadi punca hepatitis lebih kronik belum dihasilkan.
"Namun, pesakit yang dijangkiti hepatitis sebelum sempat mengambil vaksin masih mempunyai peluang untuk pulih, dan juga mengawal penularan virus tersebut. Majoriti generasi muda kini telah di beri suntikan vaksin hepatitis B semasa lahir lagi sebagai salah satu suntikan wajib. Bagaimanapun, kita semua masih berisiko dijangkiti HCV sementara generasi terdahulu tidak terlindung daripada HBV," ujarnya.
Untuk itu, Dr. Ahmad Shukri menegaskan pesakit tidak melengah atau mengambil mudah ujian saringan mahupun rawatan, kerana virus hepatitis akan membawa kepada penyakit hati yang kronik. "Sesetengah pesakit mungkin pulih, yang lain pula mungkin kekal dengan virus tersebut. Namun, perlu diingat bahawa hepatitis boleh dicegah, dikawal dan kini boleh dirawat, sebelum ia berkembang menjadi sirosis mahupun kanser hati!"

7. Virus Hepatitis A & E

Ia mengambil masa 15 hingga 40 hari untuk menjadi penyakit hepatitis A selepas mangsa dijangkiti virus tersebut. Tidak semua pesakit berasa sakit setelah dijangkiti hepatitis A. Sebahagian dewasa yang dijangkiti akan berasa sakit dan tidak sihat setelah dua minggu dijangkiti (kadangkala lebih). Kebanyakan kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda dan gejala selepas dijangkiti. Walaubagaimanapun, pesakit yang tidak menunjukkan gejala masih boleh menjangkiti orang lain. Virus hepatitis A wujud dalam najis individu yang dijangkiti dalam masa dua minggu dan sehingga dua minggu selepas gejala bermula.
Antara gejala jangkitan adalah: demam kuning, demam, hilang selera makan, sakit perut, loya, muntah, cirit-birit, sakit kepala, mata menjadi kuning, kelesuan, air kencing kotor & najis pucat.
Apabila virus memasuki badan, ianya mengambil masa kira-kira dua minggu (dipanggil tempoh inkubasi) sebelum menyebabkan masalah kesihatan. Biasanya individu dijangkiti juga mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih semula. Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kes virus Hepatitis A (HAV) kerana jangkitan virus Hepatitis E (HEV) hanya dilaporkan berlaku di India dan Afrika. Walaupun gejala jangkitan HAV dan HEV dianggap lebih ‘ringan’ berbanding virus Hepatitis B dan C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HEV menghadapi risiko paling tinggi menemui maut (antara 15 hingga 25 peratus).
Hepatitis A boleh merebak melalui najis, makanan dan minuman yang tercemar (disebarkan penyedia makanan yang telah dijangkiti atau daripada makanan mentah) atau melalui sentuhan, seperti membabitkan alat keperluan harian dan permainan di pusat jagaan kanak-kanak. Malah, ada individu yang dijangkiti melalui darah yang tercemar (pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan) tetapi jangkitan melalui cara ini jarang berlaku. Kanak-kanak yang dijangkiti HAV biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza.
Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak di bawah umur enam tahun mengalami demam kuning sementara 40 hingga 50 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun mengalami demam kuning. Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat sehingga 70 atau 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau peringkat remaja sekitar umur 14 tahun ke atas. Tiada komplikasi jangka masa panjang untuk hepatitis A.Walau bagaimanapun, hepatitis A boleh memberi kesan yang serius pada warga tua di mana mereka memerlukan rawatan di hospital.
Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus untuk penyakit ini tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak enam hingga 12 bulan. Pengambilan vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan. Rawatan am ialah: mendapatkan rehat yang cukup dan minum banyak air, elak daripada minum alkohol & individu yang dijangkiti harus berada di rumah sehingga tiada lagi kesan jangkitan (seminggu selepas sakit).
Hepatitis A boleh di cegah melalui : Menjaga kebersihan diri (kerap basuh tangan selepas keluar daripada tandas dan selepas makan), Gunakan bekalan air yang bersih, Membasuh buah-buahan dan sayuran sebelum dimakan & Elak makan kerang mentah.

8. Virus Hepatitis B

Virus Hepatitis B (HBV) mempunyai tempoh inkubasi yang lebih lama iaitu antara dua hingga tiga bulan. Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah, sama ada akut atau kronik. HBV adalah virus yang paling lazim berjangkit di dunia. Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit HBV dan kira- kira 350 juta lagi menjadi pembawa HBV yang kronik. Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HBV kronik ini berada di India dan Afrika. Di Malaysia, 60 hingga 70 peratus kes HBV berlaku di kalangan orang Cina, Melayu (30 peratus) dan 10 peratus di kalangan orang India.
Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah kepada darah, cecair darah(serum) atau cecair dari alat kelamin mereka. Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah. Wanita hamil yang telah dijangkiti HBV juga boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin. Selain itu, HBV dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV dengan gejala jangkitan seperti;Penat, Gatal-gatal, Hilang selera makan, Hilang berat badan, Sakit perut, Sakit-sakit sendi, demam kuning, kematian akut (mengejut), jangkitan kronik & kematian akibat penyakit hati yang kronik. Bagaimanapun, bukan semua orang yang mendapat penyakit hepatitis akibat HBV dan ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa.
Hampir 90 peratus individu yang dijangkiti HBV mampu menyingkirkan virus tersebut melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus lagi menjadi pembawa. Oleh kerana itu, HBV lebih bersifat kronik dan gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun. Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 hingga 25 peratus mengalami komplikasi masalah sirosis hati (sel hati mati, mengeras dan menyebabkan parut). Daripada jumlah yang mengalami sirosis hati ini, kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.
Jangkitan HBV boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT). Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras antibodi adalah tinggi, walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal. Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi mengesan HBV dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut).
Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HBV daripada terus merosakkan hati. Ianya diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan. Pesakit juga perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka. Sebagai perlindungan, anda boleh mengambil vaksin Heptitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan. Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine. Rawatan am: Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak, Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar, Elakkan arak/alkohol & Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubat yang diambil untuk penyakit kronik yang lain.
Hepatitis B boleh dielakkan dengan : Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang, Menghindarkan berkongsi barang-barang persendirian (contohnya pisau pencukur) & Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah. Hepatitis B boleh dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV. Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat yang tertentu.

9. Virus Hepatitis C

Hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik. Virus ini dikenali sebagai HCV dan boleh berjangkitmelalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, menerima darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum 1995, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur dan jangkitan dari ibu kepada bayi ketika bersalin.
HVC mempunyai tempoh inkubasi antara enam hingga tujuh minggu. Antara gejala yang biasa yang dibabitkan dengan HCV adalah; demam kuning (30 hingga 40 peratus kes), demam yang tidak teruk, sakit perut, keletihan & kerap mendapat jangkitan virus lain seperti virus selesema.
HVC boleh menyebabkan sirosis hati dan pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mempercepat proses sirosis hati di kalangan penghidap Hepatitis B dan C. Jika seseorang itu mendapat kedua-dua jangkitan HBV dan HCV, masalah sirosis dan kanser hati akan menjadi bertambah teruk. Bagaimanapun kes ini jarang berlaku.
Ubat yang diberikan kepada pesakit HCV biasanya bertujuan menghentikan tindakan virus berkenaan dan perlu diambil melalui suntikan atau pil selama enam hingga 12 bulan. Elakkan mendapat penyakit ini dengan:
  • memberitahu ahli keluarga, pasangan seks dan ahli teman serumah untuk membuatkan ujian Hepatitis B. Jikalau mereka positif, mereka mesti runding dengan doktor.
  • Risiko untuk dijangkiti hepatitis adalah sedikit, tetapi jikalau anda mengamalkan hubungan lebih satu pasangan, dinasihatkan menggunakan kondom. Amalkan hubungan seks yang selamat .
  • Jangan berkongsi barangan persendirian yang mungkin ada darah (seperti jarum suntikan, berus gigi, bisau cukur, pengetip kuku, gunting .
  • Pastikan anda mengelapkan darah anda yang tumpah dengan sendiri. Gunakan bahan peluntur , (satu bahagian peluntur campur dengan 10 bahagian air). Tisu atau kain yang digunakan untuk mengelap darah masuk ke dalam beg plastik. Balut luka itu dengan plaster.
  • Jikalau mengandung, bayi anda akan diberi dua suntikan ( Pertama, vaksin hepatitis B dan kedua suntikan immungloblin) semasa baru lahir dan vaksin yang selengkap masa lain. sepenuh
  • Amalkan gaya hidup yang sihat & mendengar nasihat doktor.

10. Virus Hepatitis D

Virus Hepatitis D (HDV) dikategorikan sebagai virus yang tidak lengkap kerana ianya memerlukan HBV untuk bertindak. Maknanya jika seseorang itu hanya dijangkiti HDV, dia tidak akan mengalami sebarang masalah. Gejala kesihatan hanya muncul jika individu berkenaan juga dijangkiti HBV selepas dijangkiti HDV. Namun, kes seperti ini jarang berlaku.
Jika anda mengalami mana-mana gejala seperti yang telah disebutkan, segera jalani ujian lanjut untuk hepatitis, terutamanya bagi individu yang lahir sebelum 1989. Berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang sesuai dengan anda. Individu yang disahkan bebas daripada jangkitan mana-mana virus hepatitis disaran mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan.

No comments: